Saturday 8 December 2012

Pengenalan Skim Rukun Tetangga


Skim Rukun Tetangga diperkenalkan pada tahun 1975 sebagai satu langkah membolehkan rakyat sendiri mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman mereka. Skim ini kemudiannya diperbaharui dengan menekankan konsep kejiranan dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara. Pada masa kini peranan Skim Rukun Tetangga diperluaskan lagi dengan pendekatan pembangunan komuniti bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan di dalam masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan.

Sehingga Mac 2009, sebanyak 557 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan di negeri Selangor. Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka. Aktiviti ini bertujuan untuk membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan diperingkat akar umbi di antara pemimpin dengan rakyat dan di antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya.

Logo Rukun Tetangga

 

Pengertian Logo
Keseluruhan Logo ini mengutarakan fungsi dan matlamat Rukun Tetangga (RT) ke arah pembentukan Bangsa Malaysia berlandaskan Rukun Negara.
  1. Bulatan Besar
  2. Bulatan besar pada logo ini menggambarkan rakyat negara ini sentiasa bermuafakat dan hidup bersatu padu.

  3. Warna
  4. Warna-warna yang digunakan pada logo ini adalah seperti mana yang terdapat pada Jalur Gemilang iaitu: Biru - Bermuafakat dan bersatu padu
    Merah - Keberanian dan keluhuran
    Kuning - Kejayaan dan keharmonian
    Putih - Kesucian dan bertangungjawab

  5. 5 Bulatan Kecil Warna Merah
  6. Lima bulatan berwarna merah di bahagian atas Logo ini membawa pengertian lima prinsip Rukun Negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mesej yang dibawa menerusi simbol ini ialah seluruh rakyat mendukung dengan semangat kental serta luhur falsafah dan aspirasi Rukun Negara dengan mengamalkan dan menghayatinya.

  7. 2 Bentuk Titisan Air Terbalik
  8. Di bawah bulatan pada Logo ini terdapat 2 bentuk titisan air terbalik digambarkan seperti orang membawa maksud bahawa rakyat negara ini sentiasa bersungguh-sungguh berganding bahu bagi membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

  9. Garisan Berwarna Merah
  10. Dua garisan berwarna merah yang terdapat di kiri dan kanan Logo ini membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia sedia menghadapi apa jua ancaman dan serangan dalam usaha membentuk perpaduan dan keharmonian sejagat yang akhirnya membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

  11. Segi Tiga Berwarna Kuning
  12. Segi tiga berwarna kuning yang terdapat di bawah Logo ini membawa pengertian bahawa Rukun Negara merupakan panduan seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membangunkan Malaysia dengan mengambil kira nilai-nilai murni yang diamalkan bersama.

  13. Garisan merah di atas garisan putih
  14. Barisan warga Rukun Tetangga (RT) yang gagah berani mempertahankan keamanan Negara daripada segala bentuk ancaman dengan rasa keikhlasan dan ketelusan yang tiada tolok bandingnya.

  15. Keseluruhan Garisan Berwarna Biru
  16. Keseluruhan garisan berwarna biru memberi maksud bahawa rakyat Malaysia menggunakan pelbagai cara yang difikirkan sesuai mengikut nilai-nilai murni yang amalkan bersama bagi tujuan membentuk satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu bagi menjamin pembangunan negara.

     sumber : http://www.jpninselangor.gov.my/v2/ms/node/494

Friday 7 December 2012

TIPS PENCEGAHAN JENAYAH: PECAH RUMAH

TIPS PENCEGAHAN JENAYAH: PECAH RUMAH
====================================
Daripada PDRM
Bila kes pecah rumah sering berlaku?
====================================
1. Ketika penghuni tiada di rumah, sama ada siang mahupun malam.
2. Apabila tahap kerjasama sesama jiran kurang, malah tidak mengenali antara satu sama lain.
3. Apabila ada tanda-tanda kecuaian penghuni dalam aspek keselamatan rumahnya.
Bagaimana mengelakkan perkara ini daripada berlaku:
===================================================
1. Kunci pintu dan tingkap apabila meninggalkan rumah walaupun untuk masa yang singkat.
2. Jangan sembunyikan kunci rumah di dalam pasu, bawah alas kaki ataupun dalam rak kasut di luar rumah.
3. Jangan tinggalkan nota menunjukkan anda tiada di rumah.
4. Hentikan hantaran pesanan harian (surat khabar) apabila anda tiada di rumah untuk beberapa hari.
5. Pasang semula manga atau kunci rumah yang baru jika anda kehilangan anak kunci ataupun penyewa rumah bertukar.
6. Elakkan dari memberi kunci rumah kepada kontraktor.
7. Simpan tangga dan peralatan (tools) di tempat yang selamat agar tidak digunakan oleh penceroboh.
8. Wujudkan suasana rumah yang berpenghuni seperti bunyi radio dan lampu terpasang pada waktu malam (guna timer, alat kawalan waktu).
9. Cabut talian telefon bagi mengelakkan telefon berdering berterusan ataupun pasang sistem pesanan/simpanan suara (jangan maklum anda tiada di rumah).
10. Sertai program kejiranan, khususnya bersama polis untuk mengenali serta meningkatkan kerjasama antara komuniti dan polis.
11. Berikan nombor talian anda yang boleh dihubungi dan juga talian balai polis yang berhampiran.
12. Pastikan kebersihan persekitaran rumah agar tidak ditumbuhi lalang dan semak-samun yang boleh dijadikan tempat sembunyi penceroboh.
13. Pastikan sekitar kawasan pagar kita tidak mempunyai pokok yang boleh digunakan oleh penceroboh untuk memasuki rumah dengan mudah.

Tips-tips tambahan bagi mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku:
=================================================================
1. Pintu utama dan pintu belakang perlu diperbuat dari bahan yang kukuh dan dilengkapi dengan sistem kunci yang berkualiti.
2. Pasang "door viewer" dan penyelak di pintu utama.
3. Pasang jeriji (grill) berkunci pada pintu dan tingkap rumah.
4. Pasang lampu (guna lampu yang jimat tenaga dan mesra alam) yang mempunyai alat pengesan untuk kawalan di luar rumah.
5. Pasang alat keselamatan tambahan seperti pengera dan CCTV.
Ikuti perkembangan aktiviti polis ketika musim perayaan untuk mengetahui akan program RakanCop serta program keselamatan Balik Kampung, terutamanya ketika musim perayaan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan langkah-langkah pencegahan jenayah, sila layari laman web PDRM di 
www.rmp.gov.my dan facebook https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia

Tuesday 4 December 2012

KRT TOWN HOUSE SEKSYEN 7 KOTA DAMANSARA

KRT Town House S7 Kota Damansara telah diluluskan penubuhannya oleh Jabatan Perpaduan & Integrasi Nasional pada 20 Jun 2012. Penubuham Kawasan Rukun Tetangga di Kota Damansara bertujuan untuk menyatukan masyarakat setempat melalui program dan aktiviti kejiranan, perpaduan serta khidmat masyarakat. Di samping itu, sebagai suatu medium untuk menjaga keselamatan serta keamanan kepada orang ramai khasnya di kawasan ini. Selaras dengan penubuhannya, Skim Rondaan Sukarela KRT Town House Seksyen 7 Kota Damansara telah di pohon dan diluluskan oleh JPNIN pada bulan berikutnya dengan penyertaan awal sebanyak 50 orang ahli sukarela. Kini SRS di KRT Town House telah melangkah jauh dengan rondaan harian pada setiap malam dari jam 1.00 pagi hingga jam 5.00 pagi. Dari segi keberkesanan SRS di kawasan ini telah banyak mengurangi gejala-gejala yang tidak sihat samada dari segi jenayah, sosial dan sebagainya. Selaras dengan perkembangan semasa yang memerlukan komitmen jangka panjang, KRT Town House telah menubuhkan beberapa biro yang diharap dapat memperkasakan perpaduan serta khidmat masyarakat kepada penduduk setempat.